Wednesday, March 14, 2012

FASAL 1 - ISLAM AGAMA FITRAH

FASAL 1

ISLAM AGAMA FITRAH




1.1.    PENGERTIAN FITRAH


Firman Allah s.w.t. :

Maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.



1.2.   FITRAH MANUSIA PERLU KEPADA AGAMA


Firman Allah s.w.t. :

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.




Firman Allah s.w.t. :

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.




Firman Allah s.w.t. :

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.



1.3.        ISLAM SESUAI DENGAN FITRAH MANUSIA

Firman Allah S.W.T. :-

Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).



Firman Allah s.w.t. :

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ".



 1.4.        ISLAM MEMANDU MANUSIA DUNIA AKHIRAT


Firman Allah s.w.t. :

Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka".



Rasulullah s.a.w. bersabda :

Berusaha dan bekerjalah engkau untuk mencari kehidupan di dunia seolah – olah engkau akan hidup selama – lamanya di dunia ini.  Dan beramal ibadat engkau untuk hidup di akhirat seolah – olah engkau akan mati besok hari.

( Riwayat Ibn A’sakir )

  
Rasulullah s.a.w. bersabda :

Sesungguhnya bahawa mengambil sesaorang kamu akan tali ( untuk mengikat kayu api ), maka dipikulnya kayu api itu atas belakangnya adalah lebih baik daripada dia pergi meminta kepada sesaorang yang telah dikurniakan Allah kelimpahannya, lalu dia meminta kepadanya, samaada diberinya atau tidak diberinya.

( Riwayat Abi Hurairah r.a. )


 Rasulullah s.a.w. bersabda :

“ Apakah usaha yang paling baik? ”  Rasulullah s.a.w. menjawab : Usaha seseorang yang lebih baik ialah usaha dengan tangannya dan tiap-tiap jual beli yang jujur.  

( Riwayat Al-Bazzar dan Al-Hakim )


 Khalifah Umar Ibn Al-khattab berkata :

Seseorang kamu tidak boleh mencari rezeki dengan duduk diam sahaja dengan hanya berdoa kepada Allah : Wahai Tuhanku! Berilah aku rezeki. Maka sesungguhnya kamu telah mengetahui, bahawa langit itu tidak menurunkan hujan emas, dan tidak juga tidak menurunkan hujan perak.


Dan Ibn Mas’ud r.a. juga berkata :

Sesungguhnya aku merasa benci (tidak suka)  melihat seseorang duduk berdiam diri (membuang masa) tanpa berusaha dalam urusan dunianya dan tidak beramal dalam urusan akhiratnya.


Dan Luqman Al-Hakim berkata kepada anaknya :

Wahai anakku! Kayakanlah dirimu dengan pencarian (rezeki) yang halal dari kepapaan, kerana tidaklah ada seseorang yang berhajat kepada orang lain, kecuali mereka yang ada padanya tiga perkara : pertama, nipis agamanya; kedua, lemah akalnya; dan ketiga, hilang maruahnya. Dan terlebih besar dari yang tiga


Firman Allah s.w.t. :


Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.



Firman Allah s.w.t. :

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya".



Firman Allah s.w.t. :

Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal-amal yang soleh - ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.